fb fb fb fb fb

Man City kekal terajui Money League

(Pemain Manchester United, Bruno Fernandes menjaringkan gol pertama mereka menentang
pemain Crystal Palace, Vicente Guaita semasa perlawanan Liga Perdana  pada 18 Januari 2023/ REUTERS)

MANCHESTER, 19 Januari- Manchester City menerajui Football Money League Deloitte untuk tahun kedua berturut-turut dengan Liga Perdana Inggeris mendominasi 20 kelab teratas buat pertama kali.

Hasil keseluruhan daripada 20 kelab teratas menghampiri nilai sebelum pandemik, 9.2 bilion euro (RM42.93 bilion) untuk musim 2021-22.

Peningkatan itu sebahagian besarnya menerusi lonjakan 1.3 bilion euro (RM6.06 bilion) hasil pada hari perlawanan selepas dua musim terjejas akibat halangan pandemik.

Peningkatan hasil Liga Perdana Inggeris dalam jualan hak penyiaran dan perkembangan komersial yang kuat menyaksikan 11 kelab liga tertinggi Inggeris itu mengisi kelompok 20 teratas buat pertama kali.

Leeds dan Newcastle menggantikan Wolves dan Zenit St Petersburg daripada senarai 20 teratas musim lalu.

Peningkatan 13 peratus pendapatan City kepada 731 juta euro (RM3.41 bilion) menyaksikan mereka mengekalkan kedudukan teratas mengatasi juara Eropah, Real Madrid yang mengutip 714 juta euro (RM3.33 bilion).

Liverpool di tangga ketiga, kedudukan tertinggi mereka dalam sejarah Money League dan mengatasi Manchester United buat pertama kali, selepas kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara Eropah, pada 702 juta euro (RM3.27 bilion).

United di tangga keempat (689 juta euro - RM3.21 bilion), diikuti Paris Saint-Germain dan Bayern Munich (masing-masing pada 654 juta euro - RM3.05 bilion).

Barcelona, yang mendahului Money League dua tahun lalu, tergelincir ke tangga ketujuh selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah di peringkat kumpulan dan mengalami kemerosotan nilai komersial berbanding pesaing-pesaingnya.

Chelsea, Tottenham dan Arsenal melengkapkan kelompok 10 teratas.

"Penguasaan kewangan Liga Perdana Inggeris sukar dicabar untuk musim-musim akan datang. Tidak mustahil satu hari nanti kesemua 20 kelab Liga Perdana Inggeris akan berada dalam kelompok 30 teratas Money League," kata pengarah Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte, Sam Boor. - AFP


(FOTO FAIL / REUTERS)

Media Baharu