KUALA LUMPUR, 24 Julai - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan lebih RM800,000 melalui Geran Padanan Sukan (GPS) bagi penganjuran Kejohanan Bola Sepak Liga Wanita Nasional (LWN).
Menterinya, YB Hannah Yeoh, berkata jumlah peruntukan itu merupakan yang tertinggi pernah disalurkan bagi pembangunan bola sepak wanita di negara ini, mencerminkan keyakinan terhadap potensi bola sepak wanita tempatan.
“Peruntukan ini bukan sahaja membantu memperkukuh mutu pasukan wanita, tetapi juga menyokong aspek liputan media serta penambahbaikan kemudahan teknikal liga.
"Saya berharap agar persatuan sukan kebangsaan yang lain dapat mencontohi pendekatan diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini, khususnya dalam usaha mereka menyumbang sumber kewangan dan tenaga bagi memperkukuh skuad bola sepak wanita kebangsaan.
"Melalui Geran Padanan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan lebih RM800,000 kepada liga ini sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian yang telah ditunjukkan.
"Jumlah pasukan yang bertanding juga menunjukkan peningkatan ketara, hampir dua kali ganda, daripada 12 pasukan kepada 22 pasukan pada tahun ini," katanya ketika melancarkan Liga Wanita Nasional (LWN) di sini, hari ini.
Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 telah membuka tirainya pada 12 Julai lalu dengan perlawanan pembukaan menemukan juara bertahan, Kelana United FC, dan Red Eagles FC, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Sementara itu, Hannah menyeru semua persatuan sukan kebangsaan agar memberikan sokongan yang adil dan saksama kepada pasukan wanita di peringkat kebangsaan.
Sebagai langkah awal, beliau telah mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memberikan akses kepada skuad Malayan Tigress bagi menjalani sesi latihan dan menganjurkan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, setaraf dengan kemudahan yang dinikmati oleh skuad Harimau Malaya.
"Selama ini, hanya pasukan kebangsaan lelaki, iaitu skuad Harimau Malaya diberi peluang untuk bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya telah mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia agar pasukan kebangsaan wanita turut diberikan akses yang sama. Sekiranya jadual Harimau Malaya tidak bertindih, skuad wanita sewajarnya diberi peluang untuk menjalani sesi latihan atau mengadakan perlawanan di stadium tersebut.
"Dalam hal ini, wakil pasukan wanita telah pun membuat lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Pihak Perbadanan akan menyelaras jadual penggunaan stadium bagi memastikan ruang yang adil dan saksama diberikan kepada skuad wanita negara," katanya.