fb fb fb fb fb

LTDL 2024: Peringkat kedua milik Malucelli

Pelumba Pasukan JCL Team Ukyo, Metteo Malucelli (tengah) memenangi perlumbaan Le Tour de Langkawi peringkat kedua (Arau-Butterworth) / Foto Bernama

BUTTERWORTH, 30 September - Pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli mengungguli peringkat kedua perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth membabitkan jarak sejauh 154.5 kilometer (km) hari ini.

Pelumba berusia 30 tahun dari Itali itu tidak berdepan masalah untuk meloloskan diri di laluan sempit dan penamat beramai-ramai, sekali gus menjadi individu pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa tiga jam 34 minit 58 saat (s).

Malucelli mengetepikan pelumba pasukan Polti Kometa, Manuel Penalver dan pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

Terdahulu, Malucelli terselamat daripada terlibat dalam kemalangan membabitkan ramai pelumba ketika perlumbaan berbaki 100 meter (m) ke garisan penamat.

“Saya masih tidak percaya saya memenangi perlumbaan ini. Ini adalah kemenangan pertama dalam perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) dan ini adalah detik-detik yang indah.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan saya dengan kemenangan ini. Kami (pasukan) berada dalam posisi terbaik untuk meneruskan perlumbaan, terutamanya bagi tiga rakan sepasukan saya dari Jepun dan kami berharap untuk memenangi perlumbaan ini kerana sangat penting untuk meningkatkan ranking pasukan,” katanya.

Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan (GC) dan Jersi Jingga (Raja Pecut) masih kekal menjadi milik pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa.

Sementara itu, pelumba negara Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG) terus mengungguli gelaran Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) biarpun menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-87 hari ini.

Peringkat ketiga esok dari Taiping ke Cameron Highlands membabitkan jarak sejauh 175.7km, menawarkan tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Ipoh, selain tiga zon pendakian di Kuala Kangsar, Kampung Raja dan Brinchang yang kategori Hors.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN