LIVERPOOL, 20 Disember - Pengurus Liverpool, Arne Slot, menegaskan tiada lagi isu berpanjangan melibatkan Mohamed Salah susulan kritikan terbuka penyerang itu terhadap kelab baru-baru ini.
Slot memaklumkan kedua-dua pihak meneruskan fokus menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur, pada Sabtu.
Salah tetap memainkan peranan penting dalam kemenangan 2-0 ke atas Brighton & Hove Albion hujung minggu lalu, meskipun minggu sebelum perlawanan itu dicemari kritikan pedas pemain antarabangsa Mesir berkenaan terhadap kelab.
"Saya sudah katakan minggu lalu, tindakan lebih bermakna daripada kata-kata. Kami sudah melangkah ke hadapan. Dia berada dalam skuad dan merupakan pertukaran pertama yang saya lakukan.
"Sekarang dia menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan akan mengharungi perlawanan besar. Jadi, adalah adil untuk semua pihak agar fokus sepenuhnya diberikan kepada tugasan tersebut," katanya.
Bergantung kepada sejauh mana kemaraan Mesir dalam kejohanan AFCON, Salah berkemungkinan terlepas sehingga tujuh perlawanan bermula dengan aksi menentang Tottenham.
Liverpool kini berada di tangga ketujuh liga dengan 26 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Arsenal, manakala Tottenham berada di kedudukan ke-11, empat mata di belakang Liverpool.
Dalam perkembangan lain, Slot mengesahkan Cody Gakpo dan Joe Gomez masih belum cergas untuk diturunkan, namun Dominik Szoboszlai berpeluang beraksi selepas menunjukkan perkembangan positif.
"Keputusan imbasan menunjukkan tanda-tanda yang memberangsangkan. Kami tidak lagi terlalu bimbang seperti satu atau dua minggu lalu, dan ada kemungkinan dia kembali lebih awal daripada jangkaan. Namun, ia bukan untuk perlawanan esok atau minggu depan," katanya.
Joe Gomez pula masih belum disenaraikan, manakala Szoboszlai kembali menjalani sebahagian latihan buat kali pertama selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Brighton. Jeremie Frimpong pula kembali berada dalam senarai pemain.
Mengulas prestasi Liverpool musim ini, Slot mengakui pasukannya melalui tempoh tidak konsisten, namun yakin prestasi semakin menunjukkan peningkatan.
"Saya rasa kami semakin hampir kepada pasukan yang saya mahukan. Ia satu proses yang melibatkan naik dan turun, dan itu sesuatu yang masuk akal memandangkan banyak perubahan yang dilakukan pada musim panas lalu.
"Kami melakukannya dengan sengaja kerana merasakan ia perlu. Mungkin saya terlalu optimis pada awalnya, tetapi apabila membentuk kumpulan baharu, tidak semua pemain bersedia untuk beraksi pada intensiti tinggi dalam setiap perlawanan. Ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri," katanya.
Slot turut menyifatkan pasukannya kurang bernasib baik dalam beberapa keputusan pengadil sepanjang musim ini.- REUTERS