MARSEILLE, 28 Oktober-Pendahulu liga, Paris Saint Germain (PSG), terus mengukuhkan kedudukan di persada liga selepas menang 3-0 ke atas seteru utama, Olympique de Marseille pada Ahad.
Tiga jaringan pada separuh masa pertama dan kad merah untuk pasukan tuan rumah memberikan kelebihan besar kepada PSG yang kini berada tiga mata di hadapan AS Monaco di puncak liga dan enam mata mendahului Marseille, yang mengalami kekalahan keenam berturut-turut dalam liga menentang PSG.
"Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik sejak minit pertama menentang lawan yang bermain dengan baik.
"Kami terus memberikan tekanan dan berhasil mencipta beberapa peluang yang dimanfaatkan para pemain," kata Pengurus PSG, Luis Enrique.
Pada perlawanan berkenaan, tuan rumah Marseille bergelut di awal permainan, dan PSG berjaya membuka jaringan melalui Joao Neves pada minit ketujuh.
Perlawanan semakin sukar buat pasukan tuan rumah apabila Amine Harit dilayangkan kad merah pada minit ke-20, menamatkan harapan mereka untuk bersaing dalam perlawanan tersebut.
"Selepas pengusiran itu, perlawanan menjadi lebih tertutup dan sukar bagi lawan kami, tetapi kami terus bekerja dan dua lagi gol tiba sebelum rehat," tambah Enrique.
Pada separuh masa kedua, PSG beraksi dengan lebih tenang dan hampir menambah jaringan.
"Kami dedikasikan kemenangan ini kepada penyokong kami, kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini untuk mereka dan juga untuk kami," ujar beliau. Berikutan insiden kekecohan antara kedua-dua penyokong sebelum ini, penyokong PSG dilarang hadir ke stadium, tetapi ketiadaan mereka tidak memberi kesan apabila PSG menguasai permainan dari awal.
Perasaan gembira jelas terpancar pada wajah pemain tengah PSG, Vitinha, yang menyatakan kepada penyiar DAZN
"Ia satu perasaan yang hebat, kegembiraan. Kami sentiasa mahu menang di sini, di stadium ini, yang memberikan rasa istimewa.
Mereka mendapat kad merah awal, kami menjaringkan dua gol berturut-turut, dan itu menamatkan perlawanan untuk mereka. Kami boleh menjaringkan lebih banyak gol, tetapi kami akan terus mencipta peluang dan memperbaiki penyudah kami," kata Vitinha.-REUTERS