PARIS, 28 Oktober-Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior, disebut-sebut sebagai calon utama untuk anugerah pemain lelaki Ballon d'Or tahun ini manakala pemain Barcelona, Aitana Bonmati, dijangka mempertahankan gelarannya untuk kali kedua berturut-turut dalam kategori wanita.
Senarai pendek pemain lelaki bagi edisi tahun ini menjadi yang pertama sejak 2003 tidak menampilkan Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo, yang pernah mendominasi anugerah dengan 13 kemenangan.
Vinicius, dijangka menggantikan Messi sebagai pemenang Ballon d'Or selepas mengharungi musim yang cemerlang, termasuk kejayaan menjuarai Liga Sepanyol dan Liga Juara musim lepas.
Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, menyatakan keyakinannya terhadap peluang yang dimiliki pemain berusia 24 tahun itu
"Vinicius akan menang (Ballon d'Or)," katanya selepas pemainnya menjaringkan hatrik dalam kemenangan 5-2 ke atas Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara minggu lalu.
"Dan bukan kerana tiga gol itu, tetapi kerana karakternya yang luar biasa", jelas Ancelotti.
Selain cemerlang di padang, Vinicius juga menjadi ikon dalam perjuangan menentang isu perkauman dalam bola sepak selepas kerap kali menjadi sasaran sejak tiba di Sepanyol pada 2018.
Pada Mei 2023, beliau mendapat sokongan dunia apabila bertindak balas terhadap penyokong Valencia yang menghinanya di Stadium Mestalla.
Antara pesaing utama Vinicius untuk Ballon d'Or adalah rakan sepasukannya dari England, Jude Bellingham, serta pemain tengah Manchester City dan bintang Euro 2024, Rodri.
Turut tersenarai adalah penjaring gol prolifik seperti Erling Haaland, Harry Kane, dan Kylian Mbappe. Pemain pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal, yang juga berpeluang mencatat kejayaan setelah memenangi tiga trofi besar La Liga, Liga Juara, dan Kejuaraan Eropah.
Sementara itu, dalam kategori wanita, pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Aitana Bonmati, dijangka mempertahankan gelarannya yang diraih musim lalu.
Bonmati sekali lagi muncul sebagai pemain paling menonjol dalam skuad Barcelona yang memenangi kuadruple kontinental termasuk liga dan piala domestik, Supercopa Sepanyol, serta Liga Juara-Juara.
Dominasi Barcelona dalam bola sepak wanita turut terserlah dengan bilangan pencalonan terbanyak dari kelab tersebut, termasuk Caroline Graham Hansen dan Salma Paralluelo yang dianggap sebagai pencabar utama Bonmati.
Majlis Anugerah Ballon d'Or akan berlangsung di sini pada Isnin, di mana para pemenang dipilih oleh wartawan selaku panel antarabangsa.-AFP