IPOH, 4 Disember- Perak FC berputih mata di laman sendiri selepas tewas kepada Sabah FC 0-1 dalam aksi Liga Super malam tadi.
Jaringan tunggal kapten Sabah FC, Park Taesu pada minit ke-85 membolehkan Sabah FC membawa pulang tiga mata dalam saingan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.
Minit awal perlawanan menyaksikan Sabah menguasai permainan dengan beberapa percubaan.
Namun, keadaan permukaan padang licin menyaksikan kedua-dua pasukan sukar mencari rentak.
Ramon Machado minit ke-14 berjaya memperdaya penjaga gol namun dikeluarkan pertahanan.
Tamat perlawanan pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan.
Bersambung babak kedua, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Miguel Cifuentes dan Rizal Ghazali dengan diganti Rawilson Batuil dan Jafri Chew.
Wan Zack Haikal dijatuhkan berhampiran kotak penalti pada minit ke-54 memberikan sepakan percuma kepada Perak.
Bagaimanapun percubaan kapten pasukan Perak, Luciano Guaycochea terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.
Pada minit ke-60, kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir kepada pemain Sabah, Dominic Tan selepas mengasari pemain tuan rumah.
Anak buah Yusri Che Lah terus diasak pelawat dengan beberapa percubaan ke arah pintu gol menyebabkan pemain Perak terpaksa bertahan.
Memasuki minit ke-75, Perak membuat dua penggantian pemain memasukkan Luka Milunovic dan Firdaus Sayadi dan mengeluarkan Farris Idziham dan Seo Seonung.
Kapten Sabah, Park Taesu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 selepas berjaya menewaskan penjaga gol Perak, T Shaheeswaran.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah FC kekal di tangga ke-4 liga sementara Perak FC di kedudukan ke- 11.
Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui pemainnya hilang fokus pada minit akhir permainan yang mengakibatkan kekalahan pasukan itu.
"Di akhir permainan pemain kurang fokus sedikit yang menghukum kita dengan jaringan yang membezakan pemenang pada perlawanan malam ini. Bagaimana pun yang positifnya kita cuba bersaing walau kita lihat banyak juga peluang terutama pada separuh masa pertama yang kita cuba ciptakan dan hampir kita menjaringkan gol tetapi kita berhadapan dengan salah sebuah pasukan yang kuat," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee jelas lega dengan kemenangan tersebut lebih-lebih lagi selepas mengharungi beberapa perlawanan dalam tempoh singkat.
"Bukan sahaja bermain di tempat lawan tetapi jarak yang kita 'travel' begitu jauh di antara satu sama lain, tetapi pemain menunjukkan sikap yang cukup positif semangat juang yang tinggi dan cuba mendapatkan gol walaupun pada minit- minit terakhir dan mereka berjaya mendapatkan gol yang kita kehendaki di mana ini penting untuk kita melalui perlawanan terakhir," ujar Kim Swee.