IPOH, 29 Oktober- Perak FC berpesta gol selepas menewaskan Kelantan FC 8-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, pada Sabtu.
Kemenangan itu sekali gus melonjakkan kedudukan pasukan itu ke tangga ke-9.
Beraksi di laman sendiri, Perak FC mendahului seawal minit ke-14 menerusi rembatan deras penyerang import, Luka Milunovic.
Berselang tiga minit kemudian, Wan Zack Haikal menjadikan kedudukan 2-0 selepas memanfaatkan situasi kucar kacir di hadapan gawang Kelantan FC.
Milunovic kemudian meledak gol ketiga skuad The Bos Gaurus menerusi jaringan cantik selepas menyudahkan bola hantaran Sunday Afolabi pada minit ke-25.
Penyerang Serbia itu melengkapkan hatrik pada minit ke-33 sekali lagi menerusi rembatan deras menewaskan Muhamad Irfan Haikal di pintu gol Kelantan FC.
Shivan Pillay Asokan terus menghukum kealpaan skuad The Red Warrior menerusi gol kelima pada minit ke-36.
Bersambung babak kedua, anak buah Yusri Che Lah terus menambah jaringan menerusi dua gol disempurnakan pemain import korea Selatan, Seo Seonung pada minit ke-49 dan 66.
Kapten pasukan, Luciano Guaycochea melengkapkan malam gemilang Perak FC hasil rembatan volley pada minit ke-84.
Tamat perlawanan, Perak FC 8, Kelantan FC 0.
Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah nyata berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya pad perlawanan berkenaan.
"Beraksi dengan pasukan yang 'Nothing to lose' ini sebenarnya kita akan ditimpa musibah seandainya kita tidak berjaga-jaga.
"Sudah pasti pemain fokus sehingga habis perlawanan dan memberikan komitmen 90 minit dengan cukup baik.
"Saya memuji para pemain kerana tidak memandang mudah walaupun selesa mendahului di separuh masa pertama dengan lima jaringan dan terus berusaha mendapatkan jaringan pada separuh masa kedua", kata Yusri yang ditemui selepas perlawanan.
Dalam pada itu, pengendali Kelantan FC, Angel Alfredo Vera pula mengakui kekurangan pengalaman beraksi di saingan peringkat tertinggi menyebabkan anak-anak didiknya tewas dengan jaringan besar.
"Kami harus kuat bagi mengharungi perlawanan. Walaupun kami tahu, kami bakal tewas ketika menentang pasukan lawan, kami perlu berusaha dengan sehabis baik", Kata Vera.
Kekalahan tersebut menyebabkan Kelantan FC kini berada di dasar liga dengan mengutip 8 mata selepas mengharungi 22 perlawanan.