(FOTO AFP)
MONACO, 22 Disember - Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski memenangi anugerah 'Kaki Emas ke-20' dalam satu majlis yang diadakan di Monaco, semalam.
Anugerah ini diberikan kepada pemain berusia 28 tahun ke atas yang menerima undian terbanyak daripada peminat bola sepak seluruh dunia.
Diperkenalkan pada tahun 2003, anugerah ini amat unik kerana bekas tapak kaki pemenangnya akan digantung sebaris dengan bekas tapak kaki pemain legenda bola sepak lain seperti Diego Maradona dan Pele.
Lewandowski muncul pemenang setelah menerima undian terbanyak peminat susulan aksi cemerlangnya bersama Barcelona.
(Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski/ AFP)
Pemain berusia 34 tahun itu mendahului senarai penjaring terbanyak La Liga dengan 13 gol, selain membantu pasukan kebangsaannya, Poland mara sehingga ke saingan kalah mati pada Piala Dunia 2022.
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah memenanginya pada tahun lepas, namun apa yang mengejutkan ialah Lionel Messi yang membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 minggu lalu, masih belum pernah dinobatkan pemenang.
Sebelum ini Roberto Baggio dinobatkan sebagai pemenang pertama pada 2003, diikuti Pavel Nedved, Andriy Shevchenko, Ronaldo, Alessandro Del Piero dan Roberto Carlos.
Pemenang lain termasuk Ronaldinho, Francesco Totti, Ryan Giggs, Zlatan Ibrahimovic, Didier Drogba, Andres Iniesta, Samuel Eto'o, Gianluigi Buffon, Iker Casillas, Edinson Cavani dan Luka Modric. -REUTERS