IPOH, 23 Januari - Kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia diharap menemui jalan penyelesaian terbaik.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijadualkan akan mula bertemu dengan pihak terlibat esok.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan siapa yang akan ditemuinya terlebih dahulu.
Jelas Datuk Seri Ahmad Faizal, beliau telah mengatur beberapa cadangan yang boleh menemukan titik persefahaman antara kedua-dua belah pihak demi kepentingan negara.
"Tentunya saya ada cadangan yang akan saya utarakan, yang pentingnya kita akan letakkan kepentingan tersebut. Imej negara di mata dunia perlu dijaga dengan baik dan kita mahu cari titik pertemuan demi untuk kepentingan negara dan sukan," kata beliau selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Pendigitalan Perniagaan di sini.
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia baru-baru ini menukar gambar profil pada akaun Facebooknya kepada warna hitam, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi hangat di media sosial.
Sehingga kini, gambar profil itu menerima lebih 85,000 tanda suka dan dikongsi hampir 5,000 pengguna serta dibanjiri 10,000 komen.
Rata-rata warganet mahu permasalahan yang berlaku diselesaikan secara baik dan tidak menguburkan aset muda negara dalam sukan badminton.