KUALA LUMPUR, 6 Februari- Legenda bola sepak negara yang pernah membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, Abd Mohd Khalid Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Khalid Ali meninggal dunia.
Berita sedih itu dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekitar pukul 3 petang tadi selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru.
Bekas pemain Selangor itu menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985 dengan pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.
Sebelum ini, Khalid disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak Mac tahun lalu dan susulan itu, tahap kesihatannya mula merosot dan perlu menjalani rawatan berkala.
Jenazah akan dibawa ke Masjid As-Sobirin AU5, Lembah Keramat untuk disembahyangkan dan dikebumi di Tanah Perkuburan AU4 selepas Maghrib.
.