fb fb fb fb fb

Khai Xing sudah padam episod kontroversi Masters Malaysia

Kang Khai Xing ditemui selepas sesi latihan di Bukit Kiara

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Pemain beregu lelaki muda negara, Kang Khai Xing telah melupakan episod kontroversi melibatkan tiga keputusan pengadil dalam aksi Masters Malaysia 2025 minggu lepas.

Pemain berusia 19 tahun itu memilih untuk tidak terus dibelenggu peristiwa itu yang menyaksikan dia dan pasangannya, Aaron Tai tewas 10-21, 26-24, 16-21 kepada pilihan ketujuh dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

“Situasi dah lepas dan saya dah terima. Kecewa sehari sahaja, esoknya sudah okay. Mungkin pada kejohanan seterusnya kami akan bangkit lebih kuat,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Sabtu lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung keputusan pengadil yang dianggap kontroversi ketika aksi pusingan kedua Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Menurut BAM, tiga keputusan penting yang dibuat ketika kedudukan genting perlawanan antara juara beregu lelaki remaja dunia 2024 dan Kjaer-Sogaard itu telah memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap keadilan dalam pertandingan tersebut. -BERNAMA

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI