MEXICO CITY, 24 Julai – Kelab Mexico, Pumas, hari ini secara rasmi mengumumkan kehadiran penjaga gol antarabangsa Costa Rica, Keylor Navas, pada sidang media khas di ibu negara Mexico.
Navas meluahkan rasa teruja menyertai pasukan baharunya itu.
“Saya percaya setiap pemain yang diberi peluang sebegini tidak harus melepaskannya,” katanya.
Presiden kelab, Dr. Luis Raul Gonzalez Perez, menyambut baik kehadiran Navas, menyifatkannya sebagai pemain luar biasa dan berbangga dapat membawa beliau ke saingan bola sepak Mexico.
Keylor Navas mula mencuri perhatian dunia selepas persembahan cemerlang pada Piala Dunia 2014 bersama skuad kebangsaan Costa Rica. Dia kemudian memenangi 12 kejuaraan bersama Real Madrid dan 10 bersama Paris Saint-Germain sepanjang karier gemilangnya di Eropah, sebelum berhijrah ke pasukan Argentina, Newell's Old Boys, pada Januari 2023.
Penghijrahan ke Pumas dibuat selepas Navas kurang mendapat minit permainan di kelab Argentina itu. Newell's menerima pampasan berjumlah AS$2 juta bagi perpindahan berkenaan, menurut kenyataan rasmi kelab di media sosial.-REUTERS