fb fb fb fb fb

Hulk Hogan meninggal dunia

Legenda gusti WWE, Hulk Hogan / AFP

FLORIDA, 25 Julai – Hulk Hogan, bintang gusti profesional yang menjadikan sukan hiburan itu fenomena global dan dikenali sebagai penyokong lantang Donald Trump, meninggal dunia pada usia 71 tahun, menurut kenyataan World Wrestling Entertainment (WWE) hari ini.

“WWE berdukacita menerima berita pemergian Hulk Hogan, ahli Hall of Fame WWE. Beliau adalah antara ikon budaya pop paling dikenali yang membawa WWE ke persada dunia pada era 1980-an,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, polis Clearwater Florida, memaklumkan pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berkaitan serangan jantung di kediaman Hogan awal pagi Khamis. Beliau dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Hogan yang terkenal dengan rambut perang 'blonde' dan fizikal sasa, menjadi wajah sukan gusti profesional pada era 1980-an, menjadikan sukan itu dari sekadar tontonan kecil kepada hiburan keluarga bernilai berbilion dolar.

Antara detik ikoniknya termasuk aksi di WrestleMania III pada 1987, apabila dia mengangkat dan membanting bintang gusti André the Giant di hadapan penonton yang memenuhi Stadium Pontiac Silverdome, Michigan.

Hogan turut mencuba nasib dalam bidang lakonan menerusi filem seperti Rocky III dan Santa With Muscles, namun terus kembali ke gelanggang selagi mampu.

Pada 2024, Hogan mengejutkan ramai apabila tampil di Konvensyen Nasional Republikan untuk menyokong kempen presiden Donald Trump, termasuk aksi merobek baju untuk mendedahkan singlet bertulis “Trump” di hadapan penyokong.

Dilahirkan sebagai Terry Gene Bollea pada 11 Ogos 1953 di Augusta, Georgia, Hogan memulakan kerjaya sebagai pemain gitar bass sebelum beralih ke dunia gusti pada 1970-an. Namanya melonjak selepas memegang tali pinggang kejuaraan dunia WWF pada 1984 dan menjadi wajah utama program WrestleMania.

Kerjaya Hogan turut melalui pelbagai kontroversi, termasuk isu rakaman peribadi yang membawa kepada saman besar-besaran terhadap Gawker serta penggantungan sementara oleh WWE pada 2015 ekoran penggunaan kata-kata berunsur perkauman.

Hogan pernah berkahwin tiga kali dan mempunyai dua anak yang turut dikenali melalui rancangan realiti “Hogan Knows Best” (2005-2007).

Bintang gusti itu dianggap antara ikon terbesar dalam sejarah gusti profesional, malah menggelar dirinya sebagai “Babe Ruth dalam gusti”.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE