fb fb fb fb fb

Kelantan gagal ke pusingan akhir Piala Emas Raja-Raja

KOTA BHARU, 30 Oktober- Kelantan gagal mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja edisi ke-100 selepas tewas menerusi sepakan penalti 4-2 kepada Selangor pada aksi malam tadi.

Kelantan yang bermain di laman sendiri gagal memanfaatkan peluang menundukkan pasukan gergasi kuning merah setelah terikat seri 2-2 dalam aksi 90 minit di Stadium Sultan Muhammad ke-4.

Serangan bertali arus Kelantan ke kubu Selangor membuahkan hasil apabila Kelantan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-36 sekali gus disempurnakan Faris Akmal untuk meletakkan Kelantan di hadapan 1-0.

Kegembiraan penyokong Kelantan hanya bertahan selama tiga minit, apabila Selangor menyamakan kedudukan melalui tandukan cantik Muhammad Mustaqim dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Masuk babak kedua permainan, Selangor hanya memerlukan seminit sahaja untuk dihadapan melalui jaringan Muhammad Adim Muzahhir yang bijak menanduk bola menewaskan penjaga gawang Kelantan Mohammad Farmie Hussin.

Tersentak dengan gol itu Kelantan bangkit memperkemaskan permainan dan berhasil memperoleh gol penyamaan pada minit ke-57 melalui rembatan daripada luar kotak penalti, Abdul Halim.

Keputusan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.

Penjaga gawang Selangor menjadi wira pasukannya apabila berjaya menepis dua sepakan penalti Kelantan untuk Selangor ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja edisi ke 100 bertemu PDRM yang menewaskan Melaka 1-3.


(Kelantan tewas di laman sendiri kepada Selangor dalam penentuan sepakan penalti
yang berakhir dengan keputusan 4-2)

Media Baharu