fb fb fb fb fb

Kejohanan Wimbledon: Kecederaan tidak ganggu Sinner jinakkan Shelton

Sinner dilaporkan mengalami kecederaan siku.

LONDON, 10 Julai - Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner mengetepikan kebimbangan terhadap kecederaan siku yang dialaminya, dengan menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan pilihan ke-10 dari Amerika Syarikat, Ben Shelton, sekali gus mara ke separuh akhir Kejohanan Wimbledon buat kali kedua.

Dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Court One, Sinner meraih kemenangan straight set 7-6(2), 6-4, 6-4 dalam masa dua jam 19 minit. 

Sinner beraksi cemerlang sejak servis pertama, hanya kehilangan dua mata dalam enam servis awalnya. Beliau mendominasi tiebreak set pertama dengan tujuh mata berturut-turut sebelum mengukuhkan penguasaan dalam dua set berikutnya.

Shelton, yang cuba melangkah ke separuh akhir Grand Slam ketiganya, gagal memanfaatkan kekuatan servis apabila melakukan double fault pada mata penentuan set ketiga.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Sinner berkata kecederaan tidak menjejaskan fokusnya.

“Saya rasa baik semasa pemanas badan dan tanamkan dalam minda bahawa saya akan turun bermain. Hari ini, saya beraksi pada tahap terbaik, dan saya gembira dengan prestasi ini,” katanya.

Mengulas cabaran seterusnya menentang Novak Djokovic, juara tujuh kali Wimbledon, Sinner mengakui ia bukan tugas mudah.

“Kami saling mengenali kerana pernah bertemu beberapa kali. Tetapi saya belum pernah menewaskannya di Wimbledon, jadi ini akan jadi cabaran besar,” katanya.

Sinner, 23, kini bertekad untuk menebus kekalahan di final Terbuka Perancis bulan lalu dan mencipta sejarah sebagai pemain Itali pertama menjuarai Wimbledon.

TUN JULIA MOHD TAHIR