SEPANG, 25 Ogos - Pasukan Besbol Malaysia (BFM) yakin mampu memenangi sekurang-kurangnya satu mata dalam Kejohanan Piala Koni yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 Ogos ini di Jakarta, Indonesia.
Ketua Pasukan Besbol Malaysia, Syed Ahmad Sha Syed Hussien berkata kejohanan itu penting bagi BFM untuk memperbaiki teknik serta melonjakkan kedudukan.
"Saya berharap kita mempelajari sesuatu daripada pasukan ini khususnya negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Singapura.
" Kita akan berjuang sehingga ke akhirnya untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam perlawanan ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Sementara itu pemain besbol negara, Mohamad Arif Mustakim Mat Safar berharap latihan rapi yang dijalani selama setahun sebelum ini mampu membantu mereka melakar kejayaan di Indonesia.
"Kita akan berada dalam senarai kedudukan maka ini ialah sebagai pencetus untuk generasi akan datang," katanya.