PALAWAN, 31 Oktober- Pasukan negara berjaya menampilkan prestasi terbaik dalam saingan Kejohanan Perahu Naga Dunia 2024 yang berlangsung di Palawan, Filipina.
Skuad negara berjaya menduduki tempat ketiga terbaik dunia bagi kategori 2,000 meter 10 lelaki, pada temasya berkenaan sekali gus mencatatkan rekod terbaik iaitu 9:24:42 saat.
Pengurus pasukan, Dzulkarnaen Hardy menyatakan berpuas hati terhadap aksi terbaik yang dipamerkan pasukannya.
"Hari ini merupakan pencapaian terbaik pasukan kebangsaan dalam kejohanan dunia, setakat ini. Ini adalah sejarah buat Malaysia," kata Dzulkarnaen kepada pemberita, hari ini.
Pada kategori berkenaan pasukan Sepanyol muncul juara dengan catatan 9:11:51 saat manakala tempat kedua menjadi milik Iran.
Selepas ini, pasukan negara akan bersaing dalam dua kategori iaitu 500 dan 200 meter.
Kejohanan dunia itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 3 November.