fb fb fb fb fb

Banjir Sepanyol : Pelumba MotoGP gesa aksi penutup musim dialih ke lokasi lain

Jorge Martin, pelumba dari Sepanyol untuk pasukan Prima Pramac Racing / FOTO AFP

SEPANG, 31 Oktober- Pelumba-pelumba MotoGP menggesa agar perlumbaan penutup musim yang dijadualkan di Valencia dua minggu lagi dialihkan susulan banjir dahsyat yang telah meragut sekurang-kurangnya 95 nyawa di Sepanyol.

Pasukan keselamatan masih giat mencari mangsa di kawasan Valencia yang paling terjejas.

Perlumbaan penentu gelaran MotoGP sepatutnya diadakan pada 16-17 November di Litar Ricardo Tormo di pinggir Valencia, tetapi juara semasa, Jorge Martin yang juga wakil tuan rumah, mencadangkan agar perlumbaan itu dipindahkan ke lokasi lain.

Menurut Martin, “penyelesaian terbaik mungkin adalah berlumba di tempat lain,” katanya di Sepang sebelum GP Malaysia hujung minggu ini, sambil menekankan bahawa keputusan segera akan membantu pelumba merancang strategi dengan lebih baik.

Sementara itu, Francisco Bagnaia dari Itali, pesaing rapat Martin dalam kejuaraan, turut menyuarakan kebimbangan moral tentang berlumba di kawasan yang kini ditimpa bencana.

“Sepanyol sedang menghadapi mimpi buruk. Bagi saya, daripada sudut etika, berlumba di sana seperti meraikan sesuatu sedangkan keadaan sekarang tidak sesuai untuk itu,” katanya.

Marc Marquez, juara dunia MotoGP enam kali, juga menyuarakan pandangannya bahawa keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha pemulihan, bukannya perlumbaan.

“Sebagai rakyat Sepanyol, sukar untuk melihat situasi sebegini," katanya. Beliau menyeru agar semua bantuan difokuskan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Walaupun litar di Valencia tidak terjejas secara langsung, terdapat kebimbangan tentang prasarana lain yang mungkin tidak dapat menampung ribuan penonton.

Buat masa ini, Sepanyol telah mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari untuk memperingati mangsa banjir tersebut.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE