MARAN, 25 Oktober-Seramai 18 petinju termasuk dari luar negara seperti Thailand, Ukraine dan Afghanistan berentap memburu gelaran dalam Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Jengka 2024 di Stadium Tun Razak di Bandar Pusat Jengka di sini, esok.
Kejohanan anjuran Triple 9 Event Management Resources menyaksikan penganjuran buat julung kalinya di lokasi berkenaan.
Pengurus kejohanan, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, kelibat petinju kebangsaan, Ali Yaacob, Hakim Red Army dan Izat Zaki Ayma Pallas turut berentap dalam pertarungan tersebut.
Menurutnya, acara utama yang menjadi tumpuan adalah pertemuan Hakim Red Army menentang petinju Afghanistan, Navidullah Sampuri.
Menurutnya, kejohanan di Jengka merupakan yang terbesar dan terakhir pada tahun ini.
Beliau berkata pada sidang akhbar di pekarangan stadium Jengka, hari ini.
Ujarnya, kejohanan tersebut juga menjadi medan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan lasak terbabit yang kini semakin menjadi tumpuan berikutan populariti jaguh Muay Thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar, 18 tahun atau lebih dikenali dengan panggilan Jojo.
Sementara itu, bagi petinju paling muda, Mohd Fahmi Irfan Mohd Fadli, 18 tahun yang mewakili Kelab Burung Antu Muaythai Gym 999 Temerloh tidak menganggap umur sebagai penghalang untuk meraih tali pinggang kejohanan tersebut.
Berdepan Mohd Haiqal Mat Nor, 22 tahun dari Black Tiger Muaythai Gym Kelantan, Fahmi yang pernah berentap mewakili Terengganu di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini ingin menggunakan pengalaman sedia ada sebaik mungkin.
"Insya-Allah saya percaya rezeki saya walaupun pihak lawan saya daripada mana atau berpengalaman lebih tinggi, saya tak kisah tapi saya sedaya-upaya untuk rebut tali pinggang yang saya inginkan", katanya ketika ditemui RTM di sini.
Sebanyak sembilan kelab tempatan dan luar negara berentap dalam kejohanan itu yang turut menawarkan cabutan bertuah utama hadiah wang tunai RM30,000 untuk pengunjung.