ALOR SETAR, 19 September- Skuad Para Sukma Kedah menyasarkan 48 pingat keseluruhan dengan penyertaan 74 atlet yang akan mewakili negeri itu pada Para SUKMA 2024 di Kuching, Sarawak bermula 22 hingga 28 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah Muhammad Radhi Mat Din yakin dengan kemampuan atlet yang mewakili Kedah berdasarkan latihan dan penyertaan mereka dalam beberapa acara dan kejohanan disertai.
"Kita meletakkan sasaran 15 emas dan kita harap ia akan peroleh lebih daripada sasaran itu. Namun ia bergantung kepada aksi setiap atlet.
"Kita mengharapkan sama seperti SUKMA Sarawak, atlet basikal menghadiahkan lebih pingat emas berbanding sasaran iaitu tiga," katanya selepas majlis Penyerahan Bendera kepada Atlet Para SUKMA 2024 yang mewakili Kedah.
Beliau ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Para SUKMA Kedah kepada Ketua Kontinjen Noor Azma Deris yang juga merupakan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah di sini.
Ketika mengulas berkenaan insentif atau ganjaran atlet Para SUKMA yang meraih pingat, ianya akan diperhalusi di peringkat negeri.
Pada Para SUKMA 2022, kontinjen Kedah berjaya meraih 11 emas ,16 perak dan 11 gangsa dan menduduki kedudukan ke-8 dari 15 pasukan bertanding.