fb fb fb fb fb

Kamada masih mencari rentak untuk menyinar

(Kamada pada sesi latihan di Doha/FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 30 November- Daichi Kamada disebut-sebut bakal menjadi bintang utama Jepun yang akan menyinar pada Piala Dunia kali ni namun penyerang itu setakat ini tenggelam ketika pasukannya akan berdepan ujian besar menentang Sepanyol, awal pagi Jumaat ini.

Kamada memberi impak besar sejak menyertai kelab Jerman, Eintracht Frankfurt apabila menang Liga Europa musim lalu dan menjaringkan 12 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu kelihatan masih mencari rentak pada Piala Dunia walaupun diturunkan ketika Jepun mencipta kejutan 2-1 menentang Jerman pada aksi pembukaan.

Kamada berkata persembahannya 'teruk' pada babak pertama perlawanan itu.

"Ia adalah sesuatu yang akan saya sesali jika Jepun tidak berjaya bangkit untuk mencipta kemenangan.," katanya.

Kamada juga dilihat semakin hilang arah pada penampilan kedua pasukannya, kekalahan 1-0 kepada Costa Rica yang mengancam peluang skuad 'Samurai Biru' untuk ke kelompok 16 terakhir.

Kemenangan mengatasi Sepanyol dalam pertemuan terakhir Kumpulan E akan memastikan kemaraan mereka.

Kamada berazam untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya.

(Kamada bersama skuad Jepun menjalani latihan di Doha, Qatar menjelang pertemuan dengan
Sepanyol/FOTO IHSAN FIFA)

"Saya sendiri tidak faham dengan cara saya bermain dalam dua perlawanan terakhir ini.

"Saya tahu saya boleh bermain lebih baik daripada apa yang pernah disaksikan, saya boleh lakukannya. Ada satu lagi perlawanan dan saya mahu beraksi lebih bagus." katanya.

Kamada berkata dia memerah otak untuk mencari sebab penurunan prestasinya tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.

"Saya melakukan terlalu banyak kesilapan, saya seperti tidak percaya," katanya mengenai persembahan ketika menentang Costa Rica.

"Ia tiada kena mengena dengan suasana di stadium, saya berada dalam keadaan yang teruk atau membawa sebarang kecederaan. Saya bermain di tahap tertinggi musim ini dan ia bukan masalah.

"Saya sendiri memikirkannya dan secara jujur, saya tidak tahu kenapa." katanya lagi.

Kamada beraksi selaku penyerang untuk Jepun setakat ini, namun kecederaan dialami pemain tengah Wataru Endo meletakkabbya menjadi pilihan untuk peranan yang lebih mendalam menentang Sepanyol.

“Sudah tentu saya boleh bermain di bahagian tengah dan jika saya diminta, saya akan melakukannya".

"Sama ada saya bermain di bahagian tengah atau di mengambil peranan penyerang, ia bukan masalah bagi saya." katan Kamada.

Kekalahan kepada Costa Rica mendapat kritikan hebat di Jepun, dengan taktik jurulatih Hajime Moriyasu yang membangkitkan lagi kemarahan penyokong.

Moriyasu bagaimanapun menegaskan bahawa pendekatannya akan kekal sama tanpa mengira keputusan perlawanan sebelum ini dan menggesa pemainnya untuk tidak melayan gelora emosi.

Kamada tetap kekal berkeyakinan untuk memperkuat semangat dirinya untuk tampil cemerlang menentang Sepanyol.

“Tonton perlawanan seterusnya dan jika saya tidak bagus maka saya perlu memikirkan sesuatu." janj Kamada- AFP

Media Baharu