LONDON, 16 Ogos-Kelab Liga Perdana Inggeris, Southampton, pada Ahad memecat pengurus pasukan, Russell Martin selepas kekalahan memalukan 5-0 di laman sendiri kepada Tottenham.
Menerusi satu kenyataan, kelab tersebut memaklumkan pengurusan telah membuat "keputusan sukar untuk 'berpisah' dengan Martin selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam 16 perlawanan.
Southampton, yang baharu sahaja dinaikkan pangkat ke Liga Perdana musim lalu, kini terperosok di tangga terbawah liga, dengan ketinggalan sembilan mata daripada kedudukan selamat.
"Kami boleh mengesahkan bahawa kami telah membuat keputusan sukar untuk berpisah dengan pengurus pasukan lelaki kami, Russell Martin," jelas kelab berkenaan dalam kenyataan itu lagi.
"Menjelang permulaan musim ini, kami semua tahu cabaran yang bakal kami hadapi tahun ini ketika menyesuaikan diri dengan kehidupan di liga utama, bersaing di liga terbaik dan paling kompetitif di dunia.
"Namun, kenyataan mengenai situasi kami adalah jelas. Pihak lembaga telah memberi sokongan kepada Russell dan stafnya serta terbuka dan telus mengenai harapan kami.
"Kami semua berada di halaman yang sama dalam mengakui betapa pentingnya hasil yang perlu diperbaiki", jelas kelab itu lagi.
Pengurus pasukan Bawah 21 Southampton , Simon Rusk, akan mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara sehingga pengganti tetap diumumkan.
Southampton melepaskan lima gol dalam separuh masa pertama ketika bertemu Tottenham pada aksi malam Ahad itu.
"Saya sangat kecewa dengan separuh masa pertama," kata Martin kepada TNT Sports selepas perlawanan.
"Kami tidak bertindak balas dengan baik selepas ketinggalan gol sebagai satu pasukan.
"Kami telah melihat perkara itu berulang kali musim ini. Selepas gol pertama, reaksi kami sangat buruk", katanya.-AFP