KUALA LUMPUR, 24 Jun - Status sebagai pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara tidak menjejaskan fokus Leong Jun Hao untuk memberikan yang terbaik pada musim ini.
Pemain ranking ke-25 dunia itu melihatnya sebagai cabaran dan motivasi buat dirinya.
“Tekanan itu pasti ada, tetapi bagi saya ia satu cabaran dan semangat kepada saya,” katanya selepas sesi latihan di sini hari ini.
Jun Hao, 26, turut yakin sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum ini.
"Saya rasa sudah lebih baik dan buat sementara ini saya teruskan dengan latihan. Saya rasa semua baik dan rasa sudah pulih sepenuhnya," katanya.
Beliau akan menggunakan waktu rehat sehingga bulan depan untuk mempertingkatkan kecergasan fizikal serta ketajaman di gelanggang bagi menghadapi kejohanan penting akan datang.
Ditanya mengenai sasaran khusus pada kejohanan akan datang, Jun Hao enggan meletakkan jangkaan terlalu tinggi, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan yang bakal dihadapi kelak.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasinya sebelum ini, beliau mengakui masih belum mencapai tahap terbaik kerana sedang menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen yang mula menggalas tugas itu awal tahun ini.
"Saya mungkin bermula dengan kurang baik kerana masih menyesuaikan diri termasuk pelajari teknik baharu, namun saya semakin serasi dengan teknik yang dipelajari dan tahu bagaimana untuk praktikkan dalam permainan atau masa kejohanan," katanya.
Setakat ini, daripada sembilan kejohanan yang disertainya tahun ini, Jun Hao hanya sekali berjaya mara ke suku akhir iaitu pada Terbuka Singapura 2025 bulan lalu namun tewas kepada pemain nombor satu dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.