fb fb fb fb fb

Jorge Martin kembali di GP Czech, sah kekal bersama Aprilia hingga 2026

Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin / AFP

PRAGUE, 18 Julai – Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin akhirnya kembali ke litar hujung minggu ini bagi Grand Prix Czech selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan serius yang menimpanya sebelum ini.

Pelumba Sepanyol itu terpaksa menangguhkan kempen musim 2025 apabila terlepas tiga pusingan awal akibat kecederaan pergelangan tangan dan buku lali yang dialami ketika sesi pra-musim.

Malangnya, nasib terus tidak menyebelahinya apabila perlumbaan sulung di Qatar berakhir dengan lebih malang apabila Martin turut mengalami pneumothorax (paru-paru runtuh) serta lebam pada bahagian tulang rusuk selepas kemalangan sewaktu berlumba dengan jentera baharunya, Aprilia RSGP.

Namun kini, Martin tampil penuh keyakinan dan menyifatkan dirinya sudah berada pada tahap terbaik untuk kembali bersaing.

“Pertama sekali, saya rasa benar-benar bersedia. Dari segi fizikal, ini mungkin kondisi terbaik saya dalam hidup. Saya perlukan lebih banyak jam atas motor, lebih banyak masa atas RSGP, tapi secara keseluruhan. Saya dah kerja keras sepanjang tempoh rehat ni. Saya gunakan masa tu untuk perbaiki diri dan prestasi. Saya rasa saya dah jadi pelumba yang lebih matang dan lebih bersedia sekarang,” katanya dalam sidang media prapelumbaan.

Dalam sesi ujian baru-baru ini, Martin berkata beliau dan pasukan banyak menumpukan kepada pelarasan posisi tunggangan, sesuatu yang tidak sempat dilakukan di Qatar.

Dalam perkembangan lain, Martin turut mengumumkan dia akan terus kekal bersama Aprilia, menghormati kontrak dua tahunnya hingga musim 2026 sekali gus menamatkan spekulasi perpindahan yang timbul sebelum ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE