fb fb fb fb fb

JDT julang Piala FA, tewaskan Terengganu FC 3-1

(Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi dinobatkan Permain Terbaik selepas tamat perlawanan
Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil/BERNAMA)


KUALA LUMPUR, 11 September- Johor Darul Ta’zim, (JDT) menepati ramalan menjulang Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi final tersebut, JDT menguasai permainan dengan peluang awal berjaya diraih pada minit ke-11 menerusi Ariff Aiman namun terkena palang.

Skuad Hector Pablo Bidoglio turut meraih beberapa peluang menerusi Bergson Gustavo dan Fernando Martin Forestieri namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan TFC.

Namun gawang Muhammad Rahadiazli Rahalim bolos buat pertama kali hasil jaringan Arif Aiman.

JDT kemudian berjaya menggandakan jaringan di babak kedua menerusi jaringan penalti Bergson da Silva.

TFC bagaimanpun berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi ketua pasukan Tchetche Kipre pada minit ke-75.

Namun kesilapan penjaga gawang TFC, Rahadiazli yang gagal menyelamatkan bola di luar kotak penalti memakan diri.

(Suasana ceria para pemain JDT menjulang Piala FA selepas tamat perlawanan
Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil/BERNAMA)


Bergson mudah menolak masuk untuk gol kedua peribadi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke 78.

Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Lebih manis, selain menamatkan kemarau kejuaraan Piala FA, ini juga merupakan kejayaan pertama ketua jurulatih baharu JDT dari Venezuela Hector Bidoglio, selepas bekas pengendali mereka Benjamin Mora, meninggalkan pasukan berkenaan atas urusan peribadi, Julai lalu.

Kali terakhir JDT menjuarai Piala FA adalah pada 2016 selepas menundukkan PKNS FC 2-1.

Piala FA 2020 dan 2021 dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Media Baharu