fb fb fb fb fb

JDT belasah KL City FC 6-1

(Pemain JDT Muhammad Akhyar Abdul Rashid (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur City
Fc Matko Zirdum (dua, kiri), pada perlawanan Liga Super/BERNAMA)

ISKANDAR PUTERI, 4 Julai- Johor Darul Takzim (JDT) menundukan lawannya di perlawanan akhir Piala FA, KL City FC 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Perlawanan 94 minit itu menyaksikan penyerang import JDT, Diogo Luis Santos menjaringkan hatrik.

Diogo menjaringkan gol pertama pada minit ke 12 dengan menendang masuk bola hantaran Leandro.

Tidak sampai seminit, Arif Aiman pula meledak gol kedua, secara satu lawan satu dengan penjaga gol City Boys, Azim Al Amin.

Diogo menjaringkan gol ketiga pada minit ke-34, sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-43. 

Gol tunggal KL City FC dijaringkan T. Saravanan pada minit ke-53, sebelum Safiq Rahim dan Akhyar Rashid melengkapkan gol JDT masing-masing pada minit ke-85 dan ke-87.

Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari beranggapan, faktor hilang fokus pada separuh masa kedua, menjadi punca gawang JDT dibolosi KL City FC.

Untuk itu pihaknya akan membaiki kelemahan tersebut, bagi memastikan fokus JDT kekal utuh, selepas menjaringkan banyak gol.

"Separuh masa pertama kami bermain baik, kami cuba menekan, cuba mendapatkan gol dan kami berjaya jaringkan gol, terutama dari dalam dan kami bermain dari sisi. Namun separuh masa kedua, kami hilang tempo," kata Esteban.

Sementara itu, Bojan Hodak menyifatkan, rentak permainan anak buahnya yang tidak memberi tekanan kepada JDT, menyebabkan gol KL City FC dibolosi enam kali.

Bojan juga beranggapan para pemain terlalu fokus pada perlawanan akhir Piala FA pada 22 Julai ini, sehingga memberi kesan kepada perlawanan malam tadi.

"Kami berjaya jaringkan gol tapi kita ada banyak peluang lain, dua tiga peluang baik, dan pada lima ke sepuluh minit terakhir. Pemain saya jadi penat dan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku pada tahap ini," kata Hodak.


(Pemain JDT Arif Aiman(tengah) diasak pemain Kuala Lumpur City Fc Saravanan Thirumurugan
(kanan) dan Nazirul Naim Che Hashim (kiri), pada perlawanan Liga Super/BERNAMA)

Media Baharu