fb fb fb fb fb

Jalur Gemilang terbalik: FAM sudah hantar bantahan rasmi

Tangkap layar Jalur Gemilang dipegang secara terbalik dan diconteng segelintir penyokong Indonesia ketika perlawanan kumpulan Piala AFF B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta

SHAH ALAM, 26 Julai - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menghantar bantahan rasmi berhubung tindakan penyokong Indonesia yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika aksi Piala AFF B-23 di Jakarta, baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan bantahan itu telah dihantar dua hari lalu kepada Setiausaha Agung AFF, Winston Lee Boon Aun dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kita sudah hantar bantahan kepada AFF dan salinan kepada AFC. Perkara ini bukan sahaja menjejaskan semangat kesukanan, tetapi juga menimbulkan rasa kurang senang kepada penyokong dan rakyat Malaysia,”

Beliau menyatakannya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Baharu di antara FAM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), di sini hari ini.

Terdahulu, beberapa beberapa keping gambar tular di media sosial memaparkan Jalur Gemilang dipegang secara terbalik dan diconteng oleh segelintir penyokong tuan rumah ketika perlawanan kumpulan Piala AFF B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Selasa lepas.

Sehingga kini, FAM masih menunggu maklum balas rasmi daripada AFF atau AFC mengenai bentuk tindakan yang akan diambil terhadap individu terbabit atau penganjur kejohanan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN