fb fb fb fb fb

Inter Miami umum 'The Unveil' menjelang ketibaan Messi

(FOTO AFP)

MIAMI, 8 Julai- Kelab baharu Lionel Messi, Inter Miami akan mengadakan sebuah acara persembahan yang dipanggil 'The Unveil', pada 16 Julai di Stadium DRV PNK di Fort Lauderdale, utara Miami.

Pemenang Ballon d'Or tujuh kali Argentina, Messi berkata bulan lalu bahawa dia berpindah ke kelab Major League Soccer itu selepas kontraknya di Paris Saint-Germain tamat.

"Acara pembukaan utama akan termasuk hiburan yang menarik, ucapan di atas padang dan banyak lagi," kata kelab.

Di Miami, Messi yang memenangi Piala Dunia bersama Argentina pada Disember, dijangka akan disertai oleh bekas rakan sepasukannya di Barcelona dan bekas pemain tengah antarabangsa Sepanyol Sergio Busquets dan gandingan itu dikatakan akan dipersembahkan bersama.

Kelab itu baru-baru ini melantik bekas jurulatih Barcelona dan Argentina, Gerardo "Tata" Martino untuk mengendalikan pasukan itu.

Messi dijangka membuat penampilan sulung pada 21 Julai menentang kelab Mexico Cruz Azul dalam Piala Liga, kejohanan baharu antara kelab-kelab teratas dari MLS dan liga Mexico.

Pemilik majoriti Inter Miami, Jorge Mas berkata kelab itu berupaya untuk menyunting tiga hingga lima pemain dalam jendela perpindahan semasa.

Inter Miami berada di tangga terbawah dalam Eastern Conference MLS dan menduduki tempat ke-28 daripada 29 kelab dalam liga.

Martino berkata, selepas pelantikannya, dia telah bercakap dengan Messi dan Busquets mengenai perpindahan mereka ke kelab MLS.

"Kadang-kadang dalam dunia bola sepak, anda mengaitkan Amerika Syarikat dan Miami dengan 'cuti'.Sebenarnya bukan itu, mereka datang untuk bersaing.

"Mereka datang daripada memenangi gelaran dunia, kejuaraan liga Sepanyol. Mereka tidak akan berehat. Mereka akan bersaing kerana ia adalah darah mereka," katanya.

Bekas pemain tengah England dan Manchester United, David Beckham, pemilik bersama kelab itu, juga berkemungkinan akan hadir pada acara tersebut. -AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu