KUALA LUMPUR, 19 Disember -Hukuman yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disifatkan sebagai pengajaran penting terhadap pematuhan peraturan dalam bola sepak antarabangsa.
Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, keputusan itu menunjukkan FIFA memandang serius kes berkenaan, khususnya dari sudut disiplin dan pematuhan peraturan.
Jelas beliau, tindakan FIFA menjatuhkan hukuman tanpa menunggu sebarang cabaran rasmi ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengukuhkan pendirian badan induk bola sepak dunia itu.
“Apabila FIFA terus menjatuhkan hukuman tanpa menunggu cabaran ke CAS, ini jelas menunjukkan kes ini dianggap serius,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman ke atas FAM susulan kes menurunkan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa.
Keputusan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Malaya diisytiharkan kalah 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan terbabit.
Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak RM51,414, selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat FIFA pada 12 Disember lalu.
Mengulas langkah seterusnya, Pekan berkata, sekiranya FAM mempertimbangkan cabaran undang-undang, laporan terperinci daripada FIFA perlu diperoleh terlebih dahulu.
Dalam pada itu, beliau berharap skuad Harimau Malaya kekal fokus dan tidak terjejas dengan keputusan berkenaan.
“Pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap perlawanan dan terus mengekalkan prestasi demi pasukan negara,” katanya.