fb fb fb fb fb

Hoki SOJC 2024: Young Tigers tewas lagi

Foto Facebook TheBridgeIN

JOHOR BAHARU, 23 Oktober-Misi Young Tigers memburu mata pertama dalam aksi kumpulan, tidak kesampaian selepas tunduk 2-4 ke atas bekas juara, India malam tadi (Selasa).

Keputusan itu meletakkan skuad bimbingan I. Vikneswaran kekal di kedudukan tercorot, selepas tiga perlawanan.

Skuad muda negara tampak garang pada suku pertama dan berjaya memperoleh dua gol pantas.

Jaringan padang Muhammad Danish Aiman muncul pada minit ke 8 sebelum Muhammad Haris Iskandar meletakkan tuan rumah selesa di depan dengan 2-0, hasil daripada pukulan sudut penalti. 

Tersentak dengan dua gol tersebut, India mula menyerang balas dan berjaya mendapatkan jaringan pertama melalui pukulan sudut penalti, melalui Sharda Nand Tiwari pada minit ke 11. 

Selang dua minit kemudian, jaringan padang Arshdeep Singh kembali mengikat kedudukan dua sama sehinggalah minit ke 39, India di depan melalui percubaan Talem Priyobarta.

Jaringan keempat India terhasil seminit kemudian, menerusi Rohit.

Sementara itu, jurulatih, I. Vikneswaran tetap berpuas hati dengan persembahan pemain terutama ketika suku pertama, namun akui anak buahnya hilang fokus selepas mendahului dengan dua jaringan.

Walaupun impian meraih mata ke atas India musnah, beliau tetap bersiap sedia bagi aksi seterusnya menentang Great Britain hari ini yang pastinya tertumpu kepada aspek fizikal. 

"Kita tidak takut.Kita lebih takut pada diri sendiri dan peduli dengan apa yang kita boleh lakukan asalkan kita boleh bermain dengan kekuatan kita, itu penting.

"Perlawanan menetang Great Britain (GB) penting sebab dia punya cara hendak ganggu emosi para pemain .Dia ingin memusnahkan permainan dan tumpuan,jadi benda ini penting juga dalam Piala Remaja Asia nanti", katanya ketika ditemui media sejurus tamat perlawanan.

Dalam pada itu, juara dua kali, Australia, meraih kemenangan sulung dengan menewaskan Jepun 5-1.

Skuad Jay Stacy tampil lebih kemas, dengan gol pembukaan oleh Dylan Downey pada minit ke-17 menerusi pukulan sudut penalti.

Ian Grobbelaar cemerlang menjaringkan hatrik pada minit ke-34, 43, dan 55, sementara Roberts Campello melengkapkan gol kelima menjelang akhir permainan.

Australia seterusnya akan bertemu India, manakala Jepun akan menentang New Zealand.

Sementara itu.., New Zealand dan Great Britain berakhir seri satu sama.

Jonty Elmes meletakkan Ice Blacks di hadapan hasil gol padang minit ke 48.

Namun kelebihan itu hanya bertahan 8 minit apabila Ted Graves berjaya menyamakan kedudukan buat Great Britain.

New Zealand kini berada ditangga kedua ketinggalan satu mata dibelakang India.

Manakala Great Britain di kedudukan ke-4, masing-masing menang, seri dan kalah sekali.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD