fb fb fb fb fb

Hoki Piala Dunia: 'Perlawanan menentang Sepanyol uji kekuatan 'Speedy Tiger'

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Skuad hoki kebangsaan bakal menjadikan perlawanan persahabatan menentang Sepanyol sebagai persiapan akhir pasukan menjelang kejohanan hoki Piala Dunia di India, Jumaat ini.

Perlawanan persahabatan yang dijadual berlangsung hari ini penting bagi menyesuaikanpemain dengan corak permainan berintensiti tinggi menentang pasukan berkelas dunia.

Menurut Ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil, aksi pemanas badan menentang pasukan di ranking kelapan dunia itu juga, menjadi platform terbaik bagi rakan sepasukannya untuk memperbaiki kelemahan yang ada, menjelang aksi sebenar Piala Dunia.

Pemain pertahanan itu berharap, agar rakan sepasukan dapat menampilkan persembahan terbaik menentang skuad dari Eropah itu, sekali gus dapat menyuntik motivasi buat pasukan bimbingan A. Arul Selvaraj sewaktu bersaing di India.

Malaysia dijadual memulakan aksi pertama Piala Dunia menentang juara tiga kali Belanda pada aksi pembukaan Kumpulan C, Sabtu ini.

Selepas itu skuad kebangsaan yang menduduki ranking ke-11 dunia akan berdepan Chile yang berada di ranking ke-22 dunia pada 16 Januari, sebelum menamatkan saingan kumpulan berdepan New Zealand pada 19 Januari ini.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.


(persiapan terakhir Skuad negara adalah menentang Sepanyol dalam perlawanan
persahabatan hari ini/ FOTO RTM)

Media Baharu