fb fb fb fb fb

Harimau Muda tamatkan saingan, gagal lolos ke separuh akhir

Foto Portal Mandiri Cup 2025

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Pasukan Bawah 23 negara gagal meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir Piala ASEAN B-23 apabila terikat seri 0-0 dengan Indonesia, malam tadi.

Skuad negara turun dengan misi wajib "menang besar" untuk melayakkan diri sebagai naib juara Kumpulan A, sekali gus menutup peluang skuad Filipina ke pusingan kalah mati itu.

Bagaimanapun, hajat tersebut tidak kesampaian.

Aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu menyaksikan pemain negara, Ziad El Basheer dilayangkan kad kuning seawal minit ke-6 susulan kekasarannya.

Indonesia merekodkan dominasi dalam mengawal permainan selain berjaya melepaskan tiga percubaan tepat ke gawang gol negara.

Pasukan tuan rumah menghasilkan percubaan pertama pada minit ke-10 menerusi tandukan Kadek Arel disusuli minit ke-16 oleh Rayhan Hannan.

Penjaga gol, Zulhilmi Sharani mempamerkan aksi cemerlang menidakkan percubaan Indonesia.

Pada minit ke-34, umpanan Fergus Tierney kepada Haqimi Azim dianggap peluang terhidang buat Malaysia.

Namun, pertahanan ampuh skuad Garuda Muda lebih cepat bertindak menghalang percubaan tersebut.

Keputusan kekal seri 0-0 tanpa jaringan hingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, penjaga gol Indonesia, Cahya Supriadi menafikan sepakan deras Aliff Izwan pada minit ke-54, untuk mencetak gol pertama negara.

Pemain tinggi lampai, Jens Raven turut mencipta peluang jaringan untuk Indonesia pada minit ke-58, namun sekali lagi dinafikan dengan ketangkasan Zulhilmi menampan bola tersebut.

Kedua-dua pasukan kekal seri 0-0 hingga tamat permainan, dengan tujuh kad kuning dikutip pada aksi berkenaan.

Pusingan separuh akhir menyaksikan empat pasukan iaitu Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand, bakal berentap merebut gelaran juara untuk edisi 2025.

Terdahulu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam.

Malaysia hanya mencatatkan satu kemenangan menentang Brunei Darussalam (7-1), tewas kepada Filipina (0-2) manakala seri (0-0) dengan Indonesia, pada kempen kali ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM