fb fb fb fb fb

Harimau Muda B-23 terus unggul, tumpaskan Melaka FC 4-1

Pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara terus menunjukkan prestasi baik menjelang Kejohanan Piala ASEAN B-23 selepas menang besar 4-1 ke atas Melaka FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Selasa.

Pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain, berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh para pemain, namun menegaskan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebelum kejohanan bermula pada 15 Julai ini.

Dalam perlawanan tersebut, dua gol dijaringkan oleh penyerang muda berbakat, Fergus Tierney, manakala satu gol masing-masing disumbangkan oleh Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Faris Danish.

Kemenangan ini merupakan yang kedua bagi skuad Harimau Muda selepas menang 1-0 ke atas PDRM FC dalam perlawanan persahabatan pertama, Sabtu lalu.

Seterusnya, pasukan negara akan menentang Negeri Sembilan FC pada Jumaat ini, sebelum berlepas ke Indonesia untuk menyertai kejohanan sebenar.

Untuk rekod, Malaysia berada dalam Kumpulan A dan akan memulakan aksi menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti perlawanan menentang Brunei pada 18 Julai dan akhirnya bertemu tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai di Jakarta.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE