fb fb fb fb fb

Harimau Malaya mula latihan di Johor Bahru hadapi Kelayakan Piala Asia 2027

FOTO BERNAMA

JOHOR BAHRU, 17 Mac– Skuad Harimau Malaya memulakan sesi latihan pertama di Johor Bahru, malam ini, sebagai persiapan menghadapi perlawanan pembukaan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, Isnin depan.

Ketua jurulatih, Peter Cklamovski berkata, latihan di Padang Seri Gelam itu adalah medan penting untuk membentuk pasukan mengikut corak taktikal yang bakal diterapkan nanti.

Beliau turut memantau perkembangan pemain secara berperingkat dengan sesi latihan yang dibahagikan mengikut kumpulan tertentu.

Menurutnya, fokus utama latihan adalah permainan menyerang yang lebih agresif sebagai persediaan menghadapi aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Mengulas kritikan peminat terhadap pemilihan Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh dalam senarai 27 pemain, Cklamovski menegaskan kedua-dua pemain itu mempunyai peranan penting dalam pasukan.

"Data fizikal Natxo sangat bertepatan dengan permainan cantik yang saya mahu terapkan. Saya mahukan aksi menyerang, permainan agresif, serta hantaran bola yang lebih kemas. Kami juga mahu menjaringkan sebanyak mungkin gol sambil bertahan dengan baik.

"Natxo berada dalam prestasi terbaik terutama dalam Liga Juara-Juara Asia Elit baru-baru ini, dan dia adalah antara pemain yang boleh memperkuatkan pasukan,” katanya.

Bagi Sumareh, Cklamovski percaya pemain itu juga memiliki profil yang sesuai dengan falsafah bola sepak yang ingin dibawanya.

Sementara itu, pemain kebangsaan Paulo Josue mengakui semua pemain kini dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem permainan baharu yang diterapkan oleh Cklamovski.

"Kami tidak sabar melihat pendekatan yang jurulatih mahukan. Saya rasa gaya permainan ini sesuai dengan corak saya, iaitu lebih banyak hantaran dan serangan pantas.

"Kami perlu memahami falsafah ini secepat mungkin dan saya rasa ia satu penghormatan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Malaysia akan membuka kempen kelayakan menentang Nepal pada 25 Mac, sebelum berdepan Vietnam dan Laos dalam saingan Kumpulan F. Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan seterusnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE