KUALA LUMPUR, 17 Mac- Litar Antarabangsa (SIC) Sepang dijangka dipilih sebagai venue utama untuk perasmian dan penutup Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan SIC dari segala aspek untuk menjadikan lokasi itu sebagai acara pembukaan dan penutupan temasya dwitahunan berkenaan.
"Buat masa ini, kita masih lagi dengan keputusan untuk menjadikan Litar Lumba Sepang sebagai venue utama perasmian dan penutupan. Sekarang ini, di pihak sekretariat pun sedang berbincang dengan pihak SIC untuk mereka buat persiapan.
Setakat ini, kita memang senarai pendekkan itu. Kita mendapat respon yang positif dari pihak SIC dan dalam proses perbincangan untuk melihat segala aspek daripada penganjuran perasmian nanti," kata Mohd Najwan kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, pihaknya menimbangkan kemungkinan menjadikan SIC dan Stadium Merdeka sebagai lokasi utama majlis perasmian SUKMA Selangor 2026.
Ini selepas Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijangka siap pada 2027, tidak sempat disiapkan untuk penganjuran acara sukan dwitahunan itu.
SUKMA 2026 di Selangor dijangka berlangsung pada bulan Ogos, yang turut melibatkan penganjuran Para SUKMA pada bulan sama selepas diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) SUKMA 2026 yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.