fb fb fb fb fb

Harimau Malaya hadapi Laos, India pada November

Aksi Harimau Malaya ketika berdepan Kyrgyzstan November tahun lalu/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente akan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India pada Kalendar Antarabangsa FIFA, November ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan berkata, perlawanan pertama menentang Laos akan berlangsung pada 14 November 2024 di tempat lawan.

"Namun ia akan berlangsung di Bangkok, Thailand iaitu di Stadium Port Authority of Thailand (PAT).

"Ini susulan Stadium Nasional Lao KM16 di Vientiane, Laos diguna pakai untuk perlawanan Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026, DPR Korea bertemu Iran pada tarikh berkenaan," menurut kenyataan tersebut.

Laos memilih Bangkok sebagai gelanggang perlawanan bertemu Malaysia disebabkan mereka selepas itu akan menentang Thailand, juga di Bangkok untuk perlawanan kedua pada 17 November 2024.

Sementara skuad Harimau Malaya pula akan terbang terus dari Bangkok ke India bagi perlawanan kedua menentang skuad kebangsaan negara itu.

Bagaimanapun stadium bagi perlawanan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking FIFA yang dikeluarkan Khamis lalu, Malaysia kini di tangga 133 dunia.

Manakala India di kedudukan 125 dan Laos di tempat 187.

Trainee