fb fb fb fb fb

Golf Terbuka Malaysia: Khavish, Kevin muncul pendahulu bersama, Gavin gagal lepasi 'cut'

V. Khavish Varman / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Februari- V. Khavish Varman meneruskan cabaran negara apabila muncul pendahulu bersama dengan pemain Australia, Kevin Yuan dengan catatan 13 bawah par 129 pukulan selepas pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2024 di The Mines Resort & Golf Club di Seri kembangan, semalam.

Khavish, merakamkan enam bawah par 65 manakala Kevin mencatatkan tujuh bawah par 64 pada saingan hari kedua menyaksikan pemain profesional terbaik negara, Gavin Kyle Green gagal melepasi had kelayakan 137 pukulan dengan lima atas par 76 untuk mengumpul jumlah dua pusingan dua bawah par 140.

Pemain Amerika Syarikat, John Catlin hanya ketinggalan satu pukulan dengan pendahulu apabila melakarkan enam bawah par 65 pada dua pusingan berturut-turut untuk mengumpul jumlah 12 bawah par 130.

Empat pemain ketinggalan dua pukulan di belakang pada 11 bawah 131 manakala empat lagi, termasuk pemain negara, Ervin Chang dan pendahulu bersama semalaman Jazz Janewattananond dari Thailand, hanya ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu pada 10 bawah par 132.

Kelompok utama begitu ketat sehingga enam pemain termasuk pendahulu bersama semalaman Veer Ahlawat dari India, hanya empat pukulan di belakang pada sembilan bawah par 133 manakala 11 yang lain terikat pada lapan bawah par 134.

Salah satu kejutan pada hari ini, pastinya Ervin yang mencatatkan sembilan bawah par 62 termasuk dua eagle pada lubang ke-11 dan 15 serta enam birdie dan bogey tunggal untuk berkongsi kedudukan di tempat ketujuh.

Had kelayakan ditetapkan pada lima bawah par 137 dengan 69 daripada 150 pemain berjaya meneruskan cabaran di dua pusingan terakhir termasuk wakil negara Jeremiah Kim Leun Kwang yang berkongsi kedudukan ke-50 dengan jumlah catatan lima bawah par 137 pukulan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE