fb fb fb fb fb

Gol saat akhir Estevao bantu Chelsea tumpaskan Liverpool 2-1

FOTO REUTERS

LONDON, 5 Oktober - Gol masa kecederaan pemain muda Brazil, Estevao Willian, membantu Chelsea menumpaskan Liverpool 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, awal pagi tadi  sekali gus menyaksikan juara bertahan itu tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam semua kejohanan.

Pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan gol pertamanya bersama Chelsea selepas menolak masuk hantaran lintang Marc Cucurella pada minit ke-95, dalam perlawanan yang berlangsung sengit dan penuh dramatik.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Enzo Maresca naik ke tangga keenam liga dengan 11 mata, manakala Liverpool bimbingan Arne Slot kekal di tempat kedua dengan 15 mata, satu mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Gol kemenangan itu mencetuskan kegembiraan luar biasa buat Maresca yang berlari meraikannya di tepi padang, namun tindakannya menyebabkan beliau dilayangkan kad kuning kedua dan diarahkan keluar padang oleh pengadil Anthony Taylor.

Pembantunya, Willy Caballero, yang menggantikan Maresca dalam sidang media selepas perlawanan, berkata pengendali Itali itu tetap gembira dengan semangat juang pasukan.

“Dia sangat gembira dengan prestasi pemain. Kami tunjukkan keinginan dan kerja keras yang tinggi sepanjang perlawanan,” kata Caballero.

Liverpool sebelum itu menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi jaringan Cody Gakpo yang menyambar hantaran Alexander Isak di hadapan gawang.

Chelsea mendahului pada minit ke-12 hasil rembatan kencang Moises Caicedo dari luar kotak penalti selepas pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate, gagal menutup ruang. Sepakan pemain Ecuador itu terus menerjah penjuru kanan atas gawang Georgi Mamardashvili.

Liverpool turut mencipta beberapa peluang, antaranya tandukan Isak yang sedikit tinggi sebelum rehat dan percubaan Mohamed Salah yang tersasar pada awal babak kedua. Namun, intensiti dan ketekunan pemain Chelsea lebih menyerlah, termasuk rembatan Enzo Fernandez yang terkena tiang pada minit ke-90 sebelum Estevao memastikan tiga mata berharga buat The Blues.

Caballero turut memuji bintang muda tersebut yang menyertai Chelsea pada Ogos lalu, menyifatkannya sebagai pemain berbakat besar dan berdisiplin tinggi.

“Dia seorang yang merendah diri dan sentiasa mahu belajar. Hari ini, dia buktikan potensinya,” ujarnya.

Kekalahan itu merupakan yang ketiga berturut-turut buat Liverpool selepas tewas kepada Crystal Palace dalam liga minggu lalu dan Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE