PARIS, 10 Oktober - Legenda tenis Switzerland, Roger Federer memberi penghormatan kepada pesaing utamanya, Rafael Nadal yang mengumumkan persaraan daripada arena profesional.
Federer yang merangkul gelaran Grand Slam sebanyak 20 kali menyifatkan pencapaian Nadal, sebagai luar biasa.
Menerusi catatan di media sosial, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemain Sepanyol itu atas kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Kedua-dua pemain itu bertemu buat pertama kali pada Mac 2004 di Miami, ketika Nadal baru berusia 17 tahun.
Pada masa itu, Federer merupakan pemain nombor satu dunia, manakala Nadal menduduki ranking ke-34 dunia.
Persaingan antara mereka berakhir semasa kejohanan Piala Laver di London pada September 2022, perlawanan terakhir disertai Federer dalam kariernya. -AFP