fb fb fb fb fb

FAM terima hukuman terbaharu daripada FIFA

Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Disember - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima hukuman terbaharu daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak.

Menurut kenyataan FAM menerusi hantaran di Facebook, mesyuarat pada 12 Disember lepas yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025), kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1.

"Perlawanan berkenaan masing-masing adalah
Malaysia lawan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang berkesudahan seri 1-1, Malaysia lawan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September, yang berkesudahan Malaysia menang 2-1 dan pertembungan Malaysia-Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September yang berkesudahan Malaysia menang 1-0.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah membuat keputusan Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan berkenaan, selain FAM dikenakan hukuman denda mencecah RM51,414," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang bakal diambil berhubung perkara ini.

FAUZIAH ABD RAHMAN