fb fb fb fb fb

FAM sasar sifar kesilapan pengadil musim depan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk memastikan barisan pengadil mencapai sifar kesilapan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S. Sivasundaram berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan peningkatan ketepatan pengadilan pada musim lalu yang mencecah 98.07 peratus selepas pelaksanaan Sistem Bantuan Video (VAR).

"Kita boleh katakan sifar isu, tetapi seperti yang saya sebut tadi, kita semua adalah manusia, begitu juga pengadil. Kadang-kadang mereka juga ada masalah peribadi atau keluarga yang terbawa ke padang bola sepak. Jadi, kita harapkan yang terbaik. Sudah tentu saya mahukan sifar isu, tetapi kita tidak dapat menjangkakan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Pembaharuan Perjanjian Penajaan antara FAM dan Kronos, serta pelancaran jersi rasmi pengadil Liga Malaysia 2025–2026 di Shah Alam.

Mengulas prestasi terdahulu, beliau memaklumkan hanya lima aduan diterima daripada 208 perlawanan musim lalu, dengan hanya dua disahkan sebagai kesilapan pengadil.

Katanya, FAM sentiasa terbuka terhadap kritikan dan pandangan pelbagai pihak dalam usaha mempertingkat mutu pengadilan bola sepak tempatan.

AZRUL FAIZAL JUSOH