KUALA LUMPUR, 30 Julai –Akademi Pengadil Profesional anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mula membuahkan hasil apabila seramai 30 pengadil muda, termasuk dua wanita, berjaya dilatih sejak 2023.
Lebih 90 peratus daripada mereka turut menerima latihan mengendalikan sistem VAR dan kini bersedia bertugas dalam saingan Liga Malaysia sebagai pengadil, penolong pengadil, pengadil VAR serta AVAR.
Timbalan Presiden FAM Dauk Sivasundram berkata, projek ini akan diteruskan dengan pengambilan kumpulan kedua pada tahun hadapan.
"FAM akan memulakan Akademi Pengadil Profesional batch kedua pada tahun hadapan sebagai langkah kesinambungan. Untuk ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, yang telah memberi sokongan sepenuhnya serta bantuan dalam melaksanakan projek ini." katanya.
Setakat ini, FAM memiliki 23 pengadil bertaraf FIFA, termasuk pengadil wanita, futsal dan bola sepak pantai.
Malaysia juga menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menggunakan VAR dalam 208 perlawanan liga.
FAM kini merancang untuk menubuhkan pusat latihan VAR dan mengalu-alukan penyertaan bekas pengadil, institusi pendidikan serta kelab bagi membantu pembangunan pengadil di peringkat akar umbi.
Kini, pengadil negara Nazmi Nasaruddin menjadi satu-satunya calon dari Asia Tenggara yang berpeluang mengadili perlawanan Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus membuka lembaran baharu buat pengadil Malaysia di pentas tertinggi dunia.