fb fb fb fb fb

FAM perlu sediakan pelan perancangan, KPI Harimau Malaya

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta menyediakan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk menjamin peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu kepimpinan FAM hari ini.

“Pemintaan itu dikemukakan sebagai balasan kepada komitmen kerajaan yang bersetuju memberi peruntukan RM15 juta untuk membantu usaha memperkasakan pasukan kebangsaan termasuk skuad bawah 23 tahun. Peruntukan itu akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Kewangan dan KBS.

“Perdana Menteri juga memaklumkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem sukan negara dan peruntukan yang disalurkan bagi Harimau Malaya ini tidak akan mengurangkan peruntukan yang disalurkan kepada sukan-sukan lain,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KBS memaklumkan pihaknya akan mendapatkan khidmat bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian semula keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya penambahbaikan dapat dilakukan. - BERNAMA

Trainee2