fb fb fb fb fb

FAM guna VAR musim depan

(Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi)

KELANA JAYA, 7 November- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang dalam proses penelitian menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.

Namun penggunaan VAR tidak akan digunakan dalam saingan Liga Malaysia.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata badan induk itu kini masih dalam peringkat perbincangan mengenai langkah tersebut.

"Setakat ini, semua exco bersetuju untuk kita gunakan VAR bagi kedua-dua kejohanan itu dan perkara ini bergantung kepada Jawatankuasa Teknikal FAM diterajui Datuk S. Sivasundaram,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM di sini.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram menyatakan penggunaan VAR di dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia musim 2023 perlu dibincang terlebih dahulu dengan Malaysia Super League (MFL).

Jelasnya, untuk merealisaikan projek itu FAM sudah mengadakan kan perbincangan dengan dua syarikat pembekal iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro.

"Yang penting sekarang adalah berkaitan perbelanjaan, seperti yang saya katakan kita baharu sahaja habis mengkaji semua stadium, 'pipe line' sudah sedia namun sebelum kita mulakan semua ini tahun depan paling penting melibatkan perbelanjaan kerana ianya melibatkan 300 perlawanan keseluruhan.

(Sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM di Kelana Jaya)

 

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Presiden FAM berkata penggunaan VAR bagi kedua-dua saingan Piala FA dan Piala Malaysia mungkin tertakluk kepada perlawanan-perlawanan tertentu seperti peringkat separuh akhir dan akhir.

“Perkara ini kita perlu berbincang dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) kerana mereka adalah badan pentadbir Liga Malaysia,” katanya sambil memaklumkan beberapa pengadil tempatan akan dihantar menyertai kursus VAR selama enam hingga sembilan bulan.

Baru-baru ini, FAM telah mengadakan perjumpaan bersama dua syarikat pembekal VAR iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro bagi mendapatkan butiran dan data penting mengenai teknologi itu yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.

Hawk-Eye Innovations dan Mediapro bukan lagi nama asing dalam teknologi VAR apabila kepakaran mereka digunakan dalam kancah saingan liga Eropah dan kejohanan peringkat benua.

Media Baharu