KUALA LUMPUR, 29 November – Olahraga Malaysia (MA) mengesahkan bahawa atlet 400 meter (m) lari berpagar negara, Muhammad Fakhrul Afizul Nasir berada pada tahap kecergasan optimum selepas melepasi penilaian prestasi dan kesihatan komprehensif yang dijalankan Institut Sukan Negara (ISN).
Menurut kenyataan Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim, kelulusan itu mengesahkan penyertaan Fakhrul dalam skuad olahraga negara ke Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
MA menjelaskan bahawa penilaian ISN merupakan komponen penting dalam memastikan kebajikan atlet, tahap kesediaan mereka untuk beraksi serta mengurangkan risiko kecederaan berulang, khususnya bagi atlet yang kembali selepas tempoh pemulihan.
Hasil penilaian mendapati Fakhrul berada pada tahap fizikal yang sesuai untuk bertanding dan kini kembali disenaraikan dalam skuad negara ke temasya tersebut.
MA turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh ketelusan proses pemilihan melalui indikator prestasi, penilaian perubatan dan data saintifik ISN bagi memastikan pembangunan atlet lebih terancang dan mampan.