fb fb fb fb fb

Euro Wanita 2025: Switzerland sasar kejutan bertemu Sepanyol

Ketua jurulatih Switzerland, Pia Sundhage/ Foto AFP

BERN, 18 Julai – Pasukan wanita Switzerland bakal berdepan ujian paling getir apabila bertemu juara dunia, Sepanyol dalam aksi suku akhir UEFA Euro Wanita 2025 pada Jumaat.

Namun begitu, ketua jurulatih Switzerland, Pia Sundhage, menyatakan keyakinan bahawa pasukannya masih mempunyai peluang untuk mencipta kejutan, apatah lagi selepas melakar sejarah layak ke pusingan kalah mati buat pertama kali.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Jika nasib menyebelahi kami, tiada yang mustahil,” ujar Sundhage dalam sidang media, pada Khamis.

Sepanyol, yang juga juara bertahan Piala Dunia dan Liga Negara-Negara Wanita hadir sebagai pilihan utama, namun Sundhage menekankan bahawa kejutan besar pernah berlaku dalam kejohanan seperti ini.

Sementara itu, kem Sepanyol turut menerima khabar gembira apabila pemain tengah utama mereka, Aitana Bonmatí, disahkan kembali cergas sepenuhnya selepas mengalami insiden kesihatan sebelum kejohanan bermula.

Bonmatí, 27, sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana disyaki menghidap meningitis virus, namun mengesahkan dirinya sudah bersedia untuk turun beraksi menentang Switzerland.

“Saya sudah kembali pada tahap terbaik dan tidak sabar untuk beraksi,” katanya.

Jika berjaya mengatasi Switzerland, Sepanyol akan bertemu pemenang antara Perancis dan Jerman di separuh akhir. Namun Bonmatí enggan terlalu jauh memikirkan perlawanan seterusnya. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN