fb fb fb fb fb

Dr KJey lakar rekod Asia, senaman kardio dan angkat berat 13 jam tanpa henti

Pelatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali Dr Kjey bersama ibunya

LIPIS, 13 Jun- Pelatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali Dr Kjey melakar rekod Asia selepas berjaya melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 13 jam tanpa henti.

Tahun lalu, beliau juga telah mencipta rekod dalam 'Influencer Book of World Records' dan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila melakukan senaman sama, bagi tempoh 12 jam tanpa henti.

Menurut anak jati kelahiran Lipis, Pahang itu, persediaan rapi telah dibuat sejak Februari lalu, sebelum memulakan senaman pada Selasa malam, dan menamatkan pada 10.30 pagi, Rabu, di sebuah gimnasium di Kuala Lipis.

Kejayaan tersebut menerima pengiktirafan Asia Book of Record yang disampaikan oleh presidennya, Selvarani Muthiah.

"Ikon sukan dalam hidup saya ialah mak saya. Mak saya sentiasa bersama saya dan selalu memberikan sokongan kepada saya," kata Dr Kjey kepada pemberita, hari ini.

Beliau menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana sekali lagi berjaya melakukan rekod tersebut sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Pahang.

Sementara itu, Dr Kjey turut memaklumkan bahawa beliau bercita-cita untuk melakar rekod dunia menerusi pengiktirafan Guinness World Record, pada September depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM