fb fb fb fb fb

Djokovic kekal nombor satu dunia

ITALI, 15 Mei - Pilihan utama, Novak Djokovic melangkah ke separuh akhir Terbuka Itali selepas menyingkirkan Felix Auger-Aliassime dari Kanada 7-5, 7-6 di peringkat suku akhir.

Dengan mara ke pusingan tersebut, Djokovic berjaya mengekalkan ranking nombor satu dunia miliknya daripada dirampas pemain Rusia, Daniil Medvedev buat kali kedua tahun ini.

Pada suku akhir tersebut, Djokovic menerima tentangan hebat daripada pemain berusia 21 tahun, Auger-Aliassime dalam kedua-dua set.

Bintang Serbia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 7-5 di set pertama.

Namun, lawannya yang juga pilihan kelapan kejohanan, bangkit melawan di set kedua dengan mengheret permainan sehingga ke tie-break sebelum tunduk dengan keputusan 7-6.

Selepas ini Djokovic dijadual berdepan pemain Norway, Casper Ruud bagi perebutan slot ke final.

Sementara itu, kategori wanita menyaksikan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek turut menempah tiket ke separuh akhir.

(Iga Swiatek ke separuh akhir)

Pilihan utama dari Poland itu berjaya mengatasi cabaran pemain Kanada, Bianca Andreescu dengan keputusan 7-6, 6-0 di suku akhir.

Swiatek yang menjuarai kejohanan gelanggang tanah liat ini tahun lalu, diberi tentangan sengit di set pertama sebelum menang menerusi tie-break 7-6.

Dia kemudian bangkit mendominasi permainan apabila menang mudah 6-0 di set kedua.

Pemain berusia 21 tahun itu akan bertemu pilihan ketiga dari Rusia, Aryna Sabalenka di separuh akhir. - REUTERS

Media Baharu