BOLOGNA,18 November - Pemain nombor satu dunia dari Sepanyol, Carlos Alcaraz, tidak akan beraksi dalam kejohanan Davis Cup Final 8 di Itali minggu ini akibat kecederaan, umum juara Wimbledon dua kali itu di platform X pada Selasa.
Alcaraz 22, memaklumkan beliau mengalami bengkak pada hamstring kanan dan dinasihatkan doktor untuk tidak beraksi.
Beliau turut menyatakan rasa kecewa kerana tidak dapat membantu skuad Sepanyol memburu kejayaan dalam kejohanan tersebut.
“Saya amat dukacita untuk mengumumkan bahawa saya tidak dapat bermain untuk Sepanyol dalam Piala Davis di Bologna. Terdapat bengkak pada otot hamstring kanan saya dan nasihat perubatan adalah untuk tidak bermain.
“Saya selalu berkata bahawa mewakili Sepanyol adalah perkara paling membanggakan, dan saya benar-benar menantikan peluang untuk membantu pasukan berjuang merebut trofi Piala Davis.” kata pemain yang telah memenangi enam gelaran Grand Slam itu.
Pengumuman Alcaraz itu dibuat dua hari selepas beliau tewas kepada seteru utamanya, Jannik Sinner, pemain nombor dua dunia dari Itali, 7-6 (7/4), 7-5 dalam penentuan juara ATP Finals di Turin.
Sinner sebelum ini telah mengesahkan penarikan diri daripada kejohanan tersebut, ketika Itali selaku tuan rumah sedang memburu gelaran ketiga berturut-turut.
Selain Itali dan Sepanyol, Austria, Perancis, Belgium, Republik Czech, Argentina dan Jerman turut bersaing merebut kejuaraan di Bologna.-AFP